Archive for Renungan Bersama

Sujud Cinta Seorang Hamba

Di atas hamparan sejadah suci
Hamba menadah kedua telapak tangan ini
Bagi memohon keampunan dan rahmat dariMu
Agar diberikan hamba hidayah serta taufiqMu
Supaya tidak tersimpang hamba dari jalanMu

Hati hamba merasa hambar dan sunyi
Tanpa iman dan semangat taqwa dalam hati
Jiwa hamba kosong dan takkan berisi
Melainkan dengan redha
Yang Maha Mengetahui
Yang menemukan hamba dalam bingkisan restu
Yang Maha Mengasihani

Saat tasbih mengisi ruang kosong di jari-jari
Mulut dan hati hamba bersatu berzikir mengingat Ilahi
Jiwa hamba terisi dengan munajat di malam hari
Diri ini hamba abdikan buat Pencipta langit dan bumi
Moga dosa-dosa lampau dapat dihapusi dan diampuni

Kening ini hamba rapatkan di atas hamparan murni
Sujud dahi hamba mencecah ke bumi
Tanda syukur hamba akan kebesaran Ilahi
Tidak terukur nilai cintaMu yang tinggi
Tidak terhitung nilai kasihMu yang bertambah setiap hari

Ya Rabbul Izzati…
Sudikah Kau menerima cinta hamba yang hina dengan longgokan dosa ini??
Semoga keampunan mendapat tempat untuk hamba yang sering lupa diri
Semoga rahmatMu sentiasa hadir menemani
Agar kehidupan duniawi dan ukhrawi hamba diredhai

Hamba amat mendambakan cinta dariMu
Hamba juga mengharapkan pertemuan denganMu
Diri hamba ini dahaga akan belaian kasihMu
Hamparan sejadah suci hamba buktikan padaMu
Sujud cinta hamba hanyalah untuk Tuhan yang berkuasa di atas segala sesuatu

Contohi Keimanan Ashabul Ukhdud, Ashabul Kahfi dan Keluarga Yasir

Persoalan akidah amat penting dalam kehidupan harian umat Islam walau di mana jua mereka berada. Kedudukan dan pangkat bukan menjadi ukuran, tetapi akidahlah menjadi teras untuk dilihat oleh Allah s.w.t.

Inilah yang membezakan antara golongan yang beriman dan kafir (menentang) Allah dan Rasul-Nya, tetapi apabila seseorang itu berjaya menguasai diri dengan nilai-nilai iman yang berkualiti di sisi Allah, pasti dia akan menjejaki kejayaan yang maksima. Begitulah yang perlu ada kepada umat Islam hari ini, satu mekanisme atau contoh terbaik untuk tujuan itu, sejarah telah membuktikan bagaimana al-Quran, Sunnah Nabawiyah dan sirahnya yang berjaya mencungkil individu-individu atau kelompok manusia yang beriman hingga tahap yang cukup tinggi, hingga tidak takut kepada makhluk walaupun bertindak kejam terhadap mereka.

Ashabul Ukhdud (orang-orang yang dicampakkan dalam parit api yang bernyala-nyala), merupakan generasi manusia yang hanya beberapa saat menerima Islam sebagai pegangan hidup hingga ke akhir hayat, namun mereka diuji sama ada mahu meninggalkan agama Islam yang dipegangnya ataupun ingin selamat daripada seksaan dengan menyembah raja yang zalim. Akhirnya mereka tetap memilih Islam yang bertuhankan Allah dan terus dicampakkan dalam parit, tidak kira orang tua, wanita, kanak-kanak, mahupun bayi yang baru dilahirkan.

Begitu juga sikap kental golongan Ashabul Kahfi, di mana kisah mereka dirakamkan Allah dalam surah Al-Kahfi, jelas mangajak seluruh umat Islam agar berakidah seperti mereka, yang hanya takut kepada Allah. Ia merupakan satu kisah yang cukup menarik untuk dikongsi oleh segenap individu muslim hari ini, yang meletakkan Islam sebagai agama yang terbaik antara agama-agama yang ada di dunia.

Tidak kurang juga kisah penderitaan yang dialami oleh keluarga Yasir di zaman baginda Rasulullah s.a.w., isterinya Sumaiyah (wanita pertama syahid sebelum hijrah) dan anaknya, Ammar, di mana Yasir dan Sumaiyah hanya beberapa hari memeluk Islam di tangan anaknya di kalangan hamba sahaya, mereka diuji dengan pelbagai tindakan kezaliman yang dilakukan oleh pembesar-pembesar Quraisy bagi memastikan mereka meninggalkan agama Islam yang menjadi pilihan terakhir mereka.

Tapi apakah sebenar hubungan peristiwa berkenaan di atas dengan agenda umat Islam hari ini? Ia tidak lain, agar mereka menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama untuk melonjakkan diri menjadi insan-insan yang dinaikkan taraf di sisi Allah s.w.t.

Mengapa tidak, kalau kisah di atas menceritakan bagaiamana mereka yang hanya beberapa saat, hari menerima Islam tetapi tetap berpegang teguh tanpa rasa ragu dan goyah, bagaimana pula dengan kita hari ini. Tanyalah diri sendiri, adakah kita baru seminggu memeluk agama Islam, atau baru sebulan, malah kebanyakan daripada kita berpuluh-puluh tahun menjadi orang Islam, tetapi mengapa masih ramai yang tidak percaya kepada undang-undang Islam dengan memilih fahaman-fahaman ciptaan manusia yang serba kekurangan dalam segenap hal. Tidakkah kita rasa malu dengan menikmati keindahan bumi ciptaan Allah serta menghirup udara segar pemberian-Nya sedangkan kita tidak sama dengan mereka yang terdahulu daripada kita seperti yang telah ditegaskan di atas.

Marilah kita sama-sama menginsafi dan sering melakukan muhasabah diri sebelum kita dihisab di hadapan Allah di mahkamah-Nya pada hari Kiamat, di mana pada hari itu tidak ada naungan melainkan naungan Allah di waktu matahari yang panas terik berada hanya sejengkal di atas kepala, yang boleh menolong ita pada hari itu ialah Nabi Muhammad s.a.w itupun berdasarkan amalan, kepercayaan, pegangan yang betul kepada agama Islam.

Adab-Adab Berhadapan Dengan Suami

Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.
4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam).

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung dihatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak,dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya. Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.

Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.